SEJUMLAH 572 projek perkilangan dari China bernilai RM78.61 bilion telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sehingga Disember 2020, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata ia termasuk pelaburan daripada Kumpulan Nine Dragons Paper (Holdings) Limited yang tersenarai di papan utama Bursa Hong Kong dan menduduki senarai China Fortune 500.
“Pelaburan Kumpulan ini di Malaysia, merangkumi dua fasiliti perkilangan iaitu ND Paper (Malaysia) Sdn Bhd di Bentong, Pahang, yang melibatkan pengambilalihan kilang kertas dan pulpa dengan pelaburan keseluruhan RM1.2 bilion dan ND Paper Malaysia (Selangor) Sdn Bhd di Banting, dengan pelaburan RM4.2 bilion.
“Kedua-dua projek ini akan menjana 2,180 peluang pekerjaan dengan hampir 90 peratus adalah rakyat tempatan. Projek di Banting dijadual beroperasi pada tahun 2022.
“Penambahan pelaburan oleh Kumpulan Nine Dragons Paper ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka. Semoga ekonomi negara terus pulih dan bertambah kukuh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri menerima kunjungan delegasi syarikat pengeluar kertas dan ‘paperboard’ terbesar di Asia itu yang telah memberi komitmen untuk menambah pelaburan sebanyak RM5.4 bilion di Malaysia.
Delegasi syarikat Nine Dragons Paper (Holdings) Limited diwakili Pengerusinya, Cheung Yan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Zhang Cheng Fei.
Hadir sama, Menteri Kanan Ekonomi yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud. – Malaysiapost

