KETUA Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada bekas Menteri Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.
Permohonan maaf itu sebahagian penyelesaian dalam tuntutan saman fitnah terhadapnya, lapor Malaysiakini.
Defendan membacakan permohonan maaf daripada pernyataan yang telah disediakan di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini di hadapan wartawan dan petugas media yang lain.
Bagaimanapun, Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Bakri, tidak hadir di mahkamah hari ini.
Awal hari ini semasa prosiding Mahkamah Tinggi terbuka, Hakim Rohana Ali Yusof merekodkan penyelesaian antara pihak terlibat seperti yang disampaikan oleh peguam mereka.
Pada 14 Jun 2017, Bee Yin selaku plaintif memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Jamal selaku defendan berhubung kenyataan memfitnah berkaitan dakwaan menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Menurut pernyataan tuntutannya, Bee Yin mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan memfitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan itu diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita dan dalam akaun Facebook Jamal.
Bee Yin mendakwa kenyataan Jamal, antara lain memberi tanggapan yang beliau menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.
Selain ganti rugi am RM5 juta, Bee Yin juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi untuk menghalang Jamal daripada mengulangi dakwaannya itu. – Malaysiapost

