Warisan teliti tindakan undang-undang ADUN Sebatik

0
2

PARTI Warisan akan meneliti tindakan undang-undang terhadap ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang mengumumkan tindakannya keluar parti itu dan menjadi wakil rakyat bebas pada Khamis lepas.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Hassan sebelum ini berikrar setia kepada parti sebelum pilihan raya negeri pada September 2020.

“Belum terima (surat berhubung perkara itu), namun ada surat yang beliau tandatangan dan berikrar untuk setia kepada parti di hadapan peguam kita secara sukarela.

“Ketika keluar, beliau masih ahli Warisan, namun kami akan memastikannya dari segi tafsiran perundangan, kita lihat bagaimana nanti,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

Memetik laporan Bernama, bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, Warisan akan mendapatkan nasihat peguam untuk tindakan terhadap Hassan yang menandatangani perjanjian untuk setia bersama Warisan di hadapan peguam parti tersebut.

Terdahulu, Hassan mengakui dia membuat sumpah setia tahun lalu dan berjanji untuk melepaskan jawatannya sekiranya dia meninggalkan Warisan.

Menerusi hantaran laman Facebooknya, dia mendakwa ikrar itu dibuat di bawah paksaan dan oleh itu tidak sah.

“Betul saya bersumpah, tapi sumpah ini tidak sah kerana terpaksa. Sekiranya saya tidak bersumpah saya tidak akan dicalonkan.

“Saya sokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana rakyat di kawasan Sebatik,” katanya hari ini.

Khamis lalu, Hassan meninggalkan Warisan dan berjanji akan menyokong GRS. Dia juga menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.

Dia turut menuduh Warisan mengutamakan politik daripada kesejahteraan rakyat. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here