YANG di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Darat ke-88 kepada seluruh warga angkatan Tentera Darat Malaysia (TDM), termasuk veteran dan semua yang pernah berkhidmat.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada anggota angkatan TDM, khususnya yang bertugas di barisan hadapan di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam membantu kerajaan memerangi penularan wabak Covid-19.
Istana Negara menerusi kenyataan berkata, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para perwira dan anggota TDM yang telah terkorban semasa bertugas dan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.
“Seri Paduka Baginda mendoakan semoga supaya roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin.
“Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota TDM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara yang kita cintai bersama ini.
“Semoga angkatan Tentera Darat terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa,” kata kenyataan itu hari ini. – Malaysiapost

