Darurat bukan bertujuan Perdana Menteri kekal berkuasa selama-lamanya – PM

0
1

TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan kesemua ordinan yang telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong, tidak ada satu pun yang bertujuan untuk membolehkan Perdana Menteri kekal berkuasa selama-lamanya.

Sebaliknya, Muhyiddin berkata beliau sedar dan faham maksud demokrasi, malah darurat yang sedang dilaksanakan tamat pada 1 Ogos 2021, iaitu kali pertama dalam sejarah negara, darurat mempunyai tempoh tamat.

“Semua ordinan ini bertujuan untuk membolehkan kerajaan menangani pandemik Covid-19 dengan lebih cekap dan berkesan, termasuk menambahbaik pengurusan penginapan pekerja asing yang menjadi antara punca utama penularan Covid-19 di negara kita.

“Dengan adanya proklamasi darurat, kesemua ordinan ini dapat dimasyhurkan dalam tempoh yang singkat tanpa perlu melalui proses di Parlimen yang kebiasannya mengambil masa yang lama,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya.

Perdana Menteri sekali lagi berkata proklamasi darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah semata-mata untuk mengatasi masalah Covid-19.

“Sejak darurat berkuatkuasa, Yang di-Pertuan Agong telah memasyhurkan tiga ordinan iaitu, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021,” katanya.

Beliau juga sekali lagi menegaskan sentiasa menjunjung Perlembagaan dan prinsip demokrasi, malah akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen supaya pilihan raya boleh diadakan dan rakyat bebas memilih kerajaan mana yang layak untuk memerintah.

“Buat masa ini, berilah ruang kepada kerajaan untuk tumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mengawal penularan wabak ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here