Video tular maki polis: Suspek ditahan 18 Feb lalu

0
1

SEORANG lelaki ditahan selepas melempar kata-kata kesat kepada polis ketika diperiksa di satu lokasi sekatan jalan raya (SJR) di Nibong Tebal, baru-baru ini.

Video memaparkan lelaki tersebut membalas pertanyaan polis dengan melemparkan kata-kata kesat tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata pihaknya telah mengambil tindakan terhadap suspek pada 18 Februari lalu sebelum video tersebut tular, lapor Kosmo!

Katanya, ketika kejadian, anggota dari Balai Polis Nibong Tebal menahan sebuah kereta Mitsubishi Lancer dipandu lelaki berusia 28 tahun yang mahu merentas negeri, kira-kira jam 5 petang.

“Selepas pemeriksaan, dia tidak mempunyai kebenaran untuk merentas negeri semasa melalui SJR.

“Lelaki itu didapati bergerak dari Butterworth (daerah Seberang Perai Utara) hendak ke Bagan Serai, Perak,” katanya.

Chong Chern berkata, ketika diminta menunjukkan kad pengenalan dan lesen memandu, lelaki terbabit telah membaling kad-kad tersebut ke arah anggota polis yang bertugas.

“Disebabkan itu, anggota terus menahannya kerana bertindak kasar, tidak memberi kerjasama dan menghalang petugas menjalankan tugas SJR.

“Semasa proses tangkapan hendak dilaksanakan, dia telah mengeluarkan perkataan kasat kepada anggota polis dan ditahan selepas itu,” katanya.

Siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod rawatan (sakit) mental di Hospital Taiping, Perak sehingga kini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 16(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here