Politik Melayu perlu bersatu

0
2

SEBUAH kerajaan Pemerintahan Dominan Pribumi (PDP) yang kuat diyakini dapat dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika tiga parti utama Melayu – Umno, PAS dan Bersatu bergabung sebagai satu pasukan.

Timbalan Presiden Jaringan NGO Sedar (SEDAR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata ini kerana gabungan itu didukung oleh tiga juta ahli Umno, sejuta ahli PAS dan 400,000 ahli Bersatu, serta anggaran sejuta pengundi tradisi Umno dan Barisan Nasional (BN) yang menyokong Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu.

Tambahan lagi katanya, ia dibantu dengan sokongan sejumlah kerusi oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti-parti lain dalam BN dan Perikatan Nasional (PN).

Jika itu berlaku, beliau menjangka kerajaan selepas PRU15 diyakini memiliki dua pertiga majoriti daripada 222 jumlah kerusi di Dewan Rakyat.

“Hakikatnya ialah hanya dengan dua pertiga majoriti kerusi di Dewan Rakyat merupakan faktor utama menjamin kestabilan politik dan ekonomi kembali pulih di negara ini.

“Sebuah kerajaan kuat dengan kedudukan jumlah kerusi majoriti kukuh, diterajui sebuah jajaran politik teguh yang boleh menjamin kestabilan untuk kemakmuran rakyat.

“Namun walaupun menang pilihan raya, tetapi jika majoriti tipis dan parti-parti menganggotainya bercakaran dan gagal mencari kesepakatan, kerajaan boleh tumbang pada bila-bila masa dan PDP berkubur. Menang sorak kampong tergadai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Ahmad yang juga bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seterusnya berkata hakikatnya orang Melayu rata-rata serik dengan pengalaman 22 bulan di bawah PH yang ditunjangi DAP dan PKR.

Apa yang berlaku selama 22 bulan, katanya benar-benar telah membuka mata orang Melayu, antara lain berkaitan pelantikan Peguam Negara, Tommy Thomas, 17,000 penjawat awam dipecat selain isu berkaitan aset-aset negara.

“Justeru, untuk PRU15, amat mengecewakan jika tiga parti politik utama orang Melayu tersebut gagal mencari kesepakatan untuk berdepan musuh sebagai satu pasukan yang mantap bersama rakan-rakan dari GPS, BN dan PN untuk menyekat PH/DAP dari kembali berkuasa.

“Gesaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya Melayu bersatu hendaklah didukung semua pihak.

“Untuk itu, Jaringan NGO SEDAR yang dianggotai 12 NGO Melayu, sejujurnya
merayu kepada kepimpinan Umno, PAS dan Bersatu supaya segera mencari penyelesaian agar satu jajaran politik yang kuat diwujudkan untuk menentang PH.

Itulah satu-satunya jalan bagi menzahirkan sebuah PDP yang kuat dan stabil selepas PRU15,” katanya.

Beliau berkata hanya kerajaan PDP yang kuat mampu menjamin butir-butir Kontrak Sosial yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dihormati. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here