MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memohon kepada Allah agar dipermudah dan dilancarkan pembukaan sesi persekolahan di seluruh negara hari ini.
Beliau berharap Allah SWT melindungi anak-anak yang ke sekolah demi mendalami ilmu, serta guru-guru yang hadir mencurahkan ilmu untuk anak-anak tersebut.
“Ya Allah, Yang Maha Penyayang, sesungguhnya kami telah seikhlas hati mengikhtiarkan yang terbaik. Kami akan terus usahakan yang terbaik.
“Ya Allah, sesungguhnya kepadaMu kami bertawakal dan berserah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sesi persekolahan secara bersemuka untuk tahun ini sepatutnya bermula pada 20 Januari lalu namun ditangguhkan akibat kes Covid-19 yang membimbangkan.
Bagaimanapun pada 19 Februari lalu, Dr Radzi mengumumkan sesi persekolahan dibuka secara berperingkat.
Menurutnya, bagi murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua akan bermula 1 Mac, manakala murid Tahun Tiga hingga Enam dibenarkan hadir ke sekolah bermula 8 Mac.
Bagi pelajar sekolah Menengah kategori kumpulan A iaitu di Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah pula akan bermula pada 4 April diikuti 5 April membabitkan kumpulan B bagi negeri lain. – Malaysiapost

