MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menjelaskan wakil rakyat memang ada dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Khairy yang juga menteri penyelaras program itu bagaimanapun berkata ada ‘VVIP’ bukan wakil rakyat mahu masuk senarai penerima fasa pertama dan tidak dibenarkan.
“To be clear, wakil rakyat memang ada dalam fasa pertama. Cuma sekarang ini ‘VVIP’ bukan wakil rakyat pun nak masuk senarai. Tak boleh,” katanya menerusi ciapan di Twitter malam tadi.
Menerusi ciapan sama, Khairy berkata beliau telah meminta wakil rakyat untuk mengambil vaksin secara berperang, namun ada negeri yang memberikannya secara sekali gus.
“Untuk wakil rakyat, saya juga minta ambil secara berperingkat. Ada negeri bagi semua Exco one shot. Not good,” katanya.
Terdapat rungutan di media sosial yang mendakwa wakil rakyat serta golongan VVIP menerima vaksin Covid-19 bagi fasa pertama ini, sedangkan ia sepatutnya diberi keutamaan kepada petugas barisan hadapan.
Malah, ada dakwaan golongan tersebut ‘memotong barisan’ untuk mendapatkan vaksin Pfizer-BioNTech lebih awal.
Pertengahan bulan lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) antara kumpulan pertama yang akan menerima suntikan vaksin Covid-19, bermula minggu lalu.
Perdana Menteri berkata pertimbangan demikian diberi memandangkan tugas ahli politik yang banyak bertemu dengan rakyat.
“Kerajaan bersetuju Ahli Parlimen dan Adun tidak kira mereka di pihak mana sekalipun, akan diberikan vaksin pada fasa pertama untuk membolehkan mereka menjalankan tugas dengan berkesan dan selamat. – Malaysiapost

