SERAMAI 1,107,095 murid Prasekolah Kementerian Pendidikan (KPM) Tahun 1 dan 2 kembali ke sekolah bagi sesi pembelajaran tahun 2021 secara bersemuka hari ini.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata beliau pasti pembukaan semula sekolah secara bersemuka amat dinanti-nantikan oleh semua murid, guru serta ibu bapa.
“Saya kira, ia pasti akan menjadi pengalaman yang mengujakan khususnya bagi murid-murid Prasekolah dan Tahun 1 yang akan ke sekolah buat pertama kalinya.
“Kepada semua ibu bapa, usahlah gusar untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Saya yakin pihak sekolah telah bersedia sebaik mungkin memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dipatuhi bagi menjamin keselamatan dan kesihatan semua,” katanya.
Beliau juga ingin memohon kepada ibu bapa agar memberi kepercayaan dan kerjasama sepenuhnya kepada pihak sekolah bagi melancarkan pengoperasian sekolah.
“Saya doakan, pembukaan semula sekolah akan berjalan dengan lancar. Marilah kita terus bersama-sama melangkah lebih jauh,” katanya.
Pada 19 Februari lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan dibuka secara berperingkat.
Menurutnya, bagi murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua akan bermula 1 Mac, manakala murid Tahun Tiga hingga Enam dibenarkan hadir ke sekolah bermula 8 Mac.
Bagi pelajar sekolah Menengah kategori kumpulan A iaitu di Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah pula akan bermula pada 4 April diikuti 5 April membabitkan kumpulan B bagi negeri lain.
Sesi persekolahan secara bersemuka tahun ini sepatutnya bermula 20 Januari lalu, namun ditangguhkan akibat peningkatan kes Covid-19, menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Susulan itu, semua sesi pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian atau pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) yang menimbulkan pelbagai isu. – Malaysiapost

