Seorang suspek Proton Waja sudah ditahan

0
2

SEORANG suspek yang menaiki kereta jenis Proton Waja yang dilaporkan merempuh beberapa kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sierramas di Sungai Buloh, tengah hari tadi berjaya diberkas polis.  
Difahamkan lelaki tempatan berusia 30-an itu bersembunyi berhampiran sebuah bangunan kosong beberapa kilometer dari lokasi kenderaan mereka ditinggalkan di MRT Damansara Damai.  
Suspek ditahan hasil tindakan pantas pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sekitar jam 4 petang tadi. 
Difahamkan polis kini giat memburu seorang lagi suspek yang sudah dikenalpasti dan polis dikatakan turut menemui sejumlah dadah dalam kereta dinaiki suspek.  
Sementara itu, Berita Harian melaporkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan mengenai penahanan terbabit.  
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah hari tadi, tular sebuah Proton Waja dinaiki dua lelaki cuba melarikan diri dengan merempuh beberapa kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Sierramas, Sungai Buloh, hingga memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan.  
Kejadian itu dirakam pengguna jalan raya dan video berdurasi satu minit 45 saat berkenaan menunjukkan kereta tersebut merempuh sebuah lori dan Perodua Myvi ynag berhenti di persimpangan susulan lampu merah.  
Kelihatan dua anggota polis cuba menghentikan kereta terbabit namun pemandu Proton Waja lebih agresif dengan merempuh kenderaan di hadapan berulang kali serta kenderaan di belakangnya.  
Keadaan itu memaksa seorang daripada anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta terbabit, namun kenderaan itu akhirnya lolos dan suspek memecut ke arah Jalan Kuala Selangor. 
Difahamkan suspek kemudian memberhentikan kenderaan di tepi jalan berhampiran MRT Damansara Damai sebelum dua lelaki keluar dari kereta itu melarikan diri. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here