Jangkitan Covid-19 dijangka dapat ditamatkan 6 hingga 9 bulan

0
1

JANGKITAN Covid-19 di Malaysia  dijangka akan berakhir dalam tempoh enam hingga sembilan bulan susulan program vaksinasi yang dijalankan ketika ini. 

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksinasi memberikan perlindungan dalaman, manakala kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) serta tindakan kesihatan awam menyediakan perlindungan luaran.

“Peringkat awal kita menggunakan dua strategi iaitu perlindungan dalaman dan luaran.

“Jika dijangkiti, kita harap vaksin antibodi yang dijana akan memutuskan jangkitan dalam tubuh.

“Kaedahnya kita akan guna pakai dalam enam hingga sembilan bulan lagi sehingga mencapai imuniti kelompok,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro. 

Beliau berkata demikian dalam sesi libat urus media menerusi sidang maya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sekiranya negara berjaya mencapai 70 peratus imuniti kelompok iaitu 23.6 juta daripada 32 juta penduduk Malaysia mendapat vaksinasi, ia dijangka dapat memutuskan rantaian Covid-19 dalam negara.

Menurutnya, empat vaksin kini masih dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) termasuk satu dos suntikan vaksin Johnson & Johnson.

“Vaksin ini hanya sekali suntikan saja dan penting digunakan kepada kumpulan tertentu terutama di pedalaman,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here