PERMOHONAN bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bagi membatalkan saman fitnah yang dikemukakan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh terhadapnya ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Pada 3 Julai tahun lalu, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut memfailkan saman terhadap Musa berhubung tuduhan melalui ucapannya dalam satu forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Januari tahun lalu.
Musa didakwa memberitahu dalam forum berkenaan dengan menyatakan bahawa Hannah cuba mengubah negara ini menjadi negara Kristian.
Peguam Ambiga Sreenevasan dan Lim Wei Jiet yang mewakili Hannah berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozanna Ali Yusof menolak permohonan pembatalan saman itu selepas memutuskan ada isu yang perlu diperjelaskan menerusi perbicaraan penuh.
Mahkamah turut memerintahkan kos RM3,000 diberikan kepada Hannah dan menetapkan pengurusan kes pada 2 April ini.
Hannah memfailkan saman dengan mendakwa ucapan Musa dalam forum berkenaan mengandungi kenyataan fitnah yang tidak benar, merendahkan, menyusahkan, palsu, salah dan tanpa asas.
Beliau menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan daripada Musa, selain perintah injunksi untuk menghalangnya serta pihak lain daripada terus menerbitkan kenyataan berkenaan.
Musa memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 29 Oktober tahun lalu dengan mendakwa kenyataannya dibuat sebagai satu keistimewaan bersyarat kerana forum itu acara tertutup yang dihadiri kira-kira 100 orang.
Beliau diwakili peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dan Muhammad Afiq Qiwamuddin. – Malaysiapost

