2 Adun, seorang Ahli Parlimen Warisan setia kepada parti, presiden

0
2

DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan seorang Ahli Parlimen daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) menyatakan kesetiaan terhadap parti dan Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mereka ialah Adun Merotai, Saripuddin Hatta: Adun Kukusan, Rina Jainal dan Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman, semuanya dari Warisan bahagian Kalabakan.

Ketetapan itu diambil mereka di sebalik tindakan keluar parti oleh Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir semalam.

Saripuddin yang juga Ketua Bahagian Kalabakan Warisan menyifatkan tindakan Hassan A Gani sebagai mementingkan diri.

Beliau berkata, walaupun terkejut dengan tindakan Setiausaha Bahagiannya itu, ia bagaimanapun tidak menjejaskan sokongan ahli Warisan Kalabakan.

Malah katanya, lebih 2,000 ahli di 75 cawangan dalam DUN Sebatik tetap setia dan kekal menyokong parti berkenaan.

“Kita tidak nafikan ramai yang kecewa atas tindakan beliau kerana kita (Warisan) yang selama ini berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan mengangkat beliau sebagai wakil rakyat.

“Apa yang boleh saya nyatakan, beliau mementingkan diri sendiri,” katanya dalam sidang media khas di Tawau hari ini.

Mengulas lanjut, Saripuddin berkata tindakan keluar atau menyertai sesebuah parti bukan perkara baharu, malah telah lama berlaku.

Beliau memberi contoh bekas Adun Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho dari Umno sebelum ini pernah keluar parti dan menyertai Warisan, sebelum berhijrah pula ke Perikatan Nasional (PN).

Semalam, Hassan A Ghani mengumunkan keputusan untuk meninggalkan Warisan selepas mendakwa parti itu lebih fokus berpolitik berbanding kebajikan serta kesejahteraan rakyat yang sedang bergelut mengharungi wabak Covid-19. 

Beliau turut menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada pilihan raya negeri September lalu, Hassan A Ghani memenangi DUN Sebatik dengan majoriti 522 undi selepas memperolehi 2,665 undi mengatasi Muis yang juga pesaing terdekatnya dari PN dalam persaingan tujuh penjuru.

Sementara itu, Ma’mun berkata, beliau kekal dengan pendirian dan kesetiannya bersama Presiden dan Warisan, manakala Rina berkata walaupun Warisan bukan lagi parti yang memerintah negeri, ia bukan halangan untuk memberi khidmat kepada rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here