Isu kenaikan kompaun, jangan tabur kebencian rakyat

0
1

KENAIKAN nilai kompaun bagi kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepatutnya dilihat bukan bertujuan memeras wang rakyat, tetapi untuk meningkatkan pematuhan orang ramai dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Justeru, pelbagai pihak terutama pembangkang digesa supaya tidak membuat kenyataan mengenai langkah kerajaan itu yang boleh menimbulkan salah faham kepada rakyat.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff, berkata sejak berita mengenai kenaikan nilai kompaun itu dilaporkan semalam, beberapa pihak dilihat bersungguh-sungguh mengkritik mengenainya.

“Bersungguh sekali nampaknya pemimpin DAP seperti Hannah Yeoh mengkritik kenaikan nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar SOP PKP dari maksimum RM1,000 ke RM10,000.

“Cara komen beliau, iaitu ‘denda RM10,000 keterlaluan, zalim dan melampau’ dan ‘jumlah RM10,000 boleh menjadi pendapatan seseorang dalam setahun’ menunjukkan seolah-olah kerajaan amat kejam dan DAP-lah pembela nasib rakyat marhaen.

“Pemimpin DAP patut tahu yang mahukan nilai kompaun dinaikkan bukan pemimpin politik tetapi penjawat awam seperti Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, bila wabak Covid-19 berleluasa dengan kadar pesakit baru harian meninggi, kerajaan dipersalahkan, tetapi bila langkah agresif memeranginya diumumkan maka pihak kerajaan juga disalahkan.

“Pemimpin DAP sepatutnya lebih jujur kerana mereka yang gagal mematuhi SOP PKP tidak semestinya akan dikompaun RM10,000, nilai sebenarnya mungkin jauh lebih rendah, dan tertakluk kepada pertimbangan pegawai yang mengenakan kompaun.

“Begitupun, paling tidak pemberian nilai maksimum RM10,000 yang boleh dikenakan sudah pasti akan menggerunkan orang ramai untuk melanggarnya dan meningkatkan pematuhan terhadap SOP PKP,” katanya.

Beliau berkata, jika pengenaan kompaun melebihi RM2,000 akan menghilangkan kelayakan sebagai wakil rakyat maka kebimbangan ini adalah tidak berasas kerana ia hanyalah membabitkan kesalahan jenayah.

“Nilai kompaun maksimum RM1,000 kepada individu dan syarikat, sebelum ini terlalu ‘outdated’ dan kecil, ada individu serta banyak pusat hiburan yang berulangkali melanggar SOP PKP kerana tidak mempunyai sebarang masalah untuk membayarnya.

“Oleh itu, ketepikanlah politik kepartian, sokonglah usaha memerangi Covid-19, usahlah cuba ditabur kebencian kepada kerajaan dan janganlah tunjuk keras kepala dengan penjawat awam seperti Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah Kesihatan,” tegasnya.

Semalam media melaporkan, nilai kompaun bagi individu yang melanggar SOP ditetapkan untuk pencegahan dan kawalan Covid-19 dinaikkan dari maksimum RM1,000 sehingga RM10,000 berkuatkuasa 11 Mac ini.

Kompaun bagi syarikat atau sesuatu pertubuhan perbadanan pula dinaikkan sehingga RM50,000 mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here