Polis tembak tayar kereta, pemandu cuba lolos dari ditahan

0
3

TULAR kejadian sebuah kereta dinaiki dua lelaki yang cuba melarikan diri dengan merempuh beberapa kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Sierramas, Sungai Buloh, hari ini hingga memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan.

Kejadian difahamkan berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari tadi dan dirakam pengguna jalan raya yang kenderaannya turut dirempuh dan video berkenaan kini tular di media sosial.

Dalam video berdurasi satu minit 45 saat itu menunjukkan sebuah Proton Waja yang dipercayai dinaiki dua lelaki merempuh sebuah lori dan Perodua Myvi yang berhenti di persimpangan lampu isyarat merah.

Kelihatan dua anggota polis cuba menghentikan kereta terbabit namun pemandu Proton Waja lebih agresif dengan merempuh kenderaan di hadapan berulang kali serta turut merempuh kenderaan di belakangnya.

Keadaan itu memaksa seorang daripada anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta terbabit, namun kenderaan itu akhirnya lolos dan suspek kemudian memecut ke arah Jalan Kuala Selangor.

Difahamkan suspek kemudian memberhentikan kenderaan di tepi jalan berhampiran MRT Damansara Damai sebelum dua lelaki keluar dari kereta itu melarikan diri.

Sementara itu, menurut laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, kejadian berlaku di bawah bidang kuasa Balai Polis Sri Damansara, di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, namun anggota polis yang mengejar suspek adalah dari IPD Gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian yang tular itu dalam masa terdekat. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/23/isu-darurat-aziz-bari-beri-keterangan-kepada-polis-esok/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here