MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan diminta memberi penjelasan berhubung kenaikan kadar kompaun sehingga RM10,000 atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19.
Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata kenaikan kadar tersebut berbanding RM1,000 ketika ini adalah satu penderaan kepada rakyat.
Ketua Pemuda Umno Kuala Kangsar itu berkata secara asasnya, beliau bersetuju dengan keputusan kerajaan menaikkan kadar kompaun terhadap mereka yang ingkar SOP Covid-19, namun bukan dalam jumlah keterlaluan.
“Saya sedar kerajaan memerlukan undang-undang ketat bagi mengawal penularan wabak ini demi memastikan kesejahteraan rakyat.
“Bagaimanapun, saya agak kurang setuju dengan langkah kerajaan menaikkan kadar kompaun tersebut dalam keadaan SOP yang tidak konsisten ataupun ‘flip-flop’.
“Menaikkan kadar kompuan dalam keadaan SOP yang tidak konsisten dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang separuh masak bagi saya bukan saja akan menimbulkan kemarahan rakyat, malah ia satu penderaaan terhadap rakyat.
“Justeru kita minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang memberikan penjelasan berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mustafa berkata, kadar kompaun boleh dikenakan terhadap individu yang melanggar SOP ini dengan melihat jenis kesalahan yang mereka lakukan.
“Jika kesalahan itu pertama kali mereka lakukan, kadar kompaun mungkin memadai RM1,000.
“Jika kesalahan berulang, kadar kompaun meningkat sedikit demi sedikit sehingga maksimum RM10,000,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu tidak adil dalam keadaan sukar sebegini, iaitu ketika pendapatan rakyat terjejas.
“Kita mengenakan hukuman yang keras ke atas mereka. Saya berharap kerajaan boleh menilai semula keputusan ini,” katanya.
Semalam, menerusi laporan media, kompaun bagi indivudu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 dinaikkan sehingga RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac ini.
Kompaun bagi syarikat atau sesuatu pertubuhan perbadanan pula yang didapati melakukan kesalahan sama dinaikkan sehingga RM50,000.
Awal bulan ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata Pejabat Peguam Negara sedang menyediakan draf untuk ditingkatkan lagi hukuman kes ingkar SOP PKP.
Beliau berkata, langkah itu susulan saranan disuarakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Menurut Ismail Sabri, pengumuman mengenai perkara itu akan dilakukan sendiri oleh Takiyuddin kerana perubahan kadar kompaun dan hukuman denda di mahkamah melibatkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ketika ini di bawah Ordinan Darurat. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/26/sop-covid-19-kompaun-jangan-sampai-mufliskan-rakyat-najib/

