Penjawat awam digesa daftar sebagai penerima vaksin Covid-19

0
2

KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, menggesa penjawat awam segera mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, pengambilan vaksin adalah sebagai usaha untuk melandaikan keluk jangkitan Covid-19 dan beliau sendiri sudah menerima suntikan vaksin itu hari ini.

“Saya bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan tiga petugas barisan hadapan selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini.

“Semoga usaha ini dapat melandaikan keluk jangkitan agar kita semua dapat kembali menikmati kehidupan seperti sediakala. Insya-Allah.

“Saya juga berharap semua penjawat awam segera mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di aplikasi MySejahtera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang memberi komitmen dalam membendung wabak Covid-19.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang memasuki hari kedua diteruskan dengan suntikan vaksin membabitkan Menteri Kesihatan di Putrajaya hari ini. 

Turut sama menerima suntikan itu adalah Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia.

Proses pemberian vaksin itu dijalankan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Presint 11 pada 12.45 tengah hari tadi. 

Tiga petugas barisan hadapan KKM turut menerima suntikan itu iaitu Tawfik Adnan yang bertugas sebagai pemandu, Farid Md Ithnin yang bertugas sebagai Pembantu Kesihatan Awam di PKD Putrajaya dan Yusniza M Yusof yang bertugas sebagai jururawat di Klinik Kesihatan, Presint 11 Putrajaya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here