Penguatkuasaan pematuhan SOP diteruskan

0
1

PEMATUHAN dan penguatkuasaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19 masih diteruskan walaupun Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sudah bermula semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia kerana program itu dijangka mengambil masa setahun dan bermakna sekali pun ia telah dijalankan namun pematuhan serta penguatkuasaan terhadap SOP masih perlu diteruskan.

Menurutnya, orang ramai harus terus mengamalkan kehidupan dalam norma baharu dan kawalan kendiri yang baik selain segera mendaftar untuk menerima vaksin.

“Orang ramai diharap segera mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera dan saya difahamkan oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa pendaftaran lain juga akan dibuka kepada rakyat mulai minggu depan.

“Pendaftaran melalui laman web dan pendaftaran atas talian dijangka bermula 5 Mac ini, manakala pendaftaran bersemuka di klinik-klinik kesihatan dan hospital juga dijangka pada minggu hadapan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, pengumuman dan maklumat lanjut mengenai perkara itu akan dibuat oleh MOSTI dan KKM dalam masa terdekat.

Sementara itu, beliau berkata dalam usaha melandaikan pandemik Covid-19, kerajaan telah melaksanakan dua strategi besar iaitu berdasarkan kesihatan dan bukan kesihatan.

“Bagi strategi kesihatan ia di bawah bidang kuasa KKM seperti melaksanakan saringan bersasar, kuarantin wajib dan lain-lain lagi.

“Manakala bagi bukan kesihatan ia melibatkan kawalan pergerakan, penutupan sempadan serta pematuhan SOP yang dilaksanakan pasukan keselamatan.

“Terkini melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan Perdana Menteri telah menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin semalam dan akan disusuli pasukan barisan hadapan untuk fasa seterusnya,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya vaksin berkenaan ia akan memberi impak besar kepada usaha kerajaan dalam mengawal penularan jangkitan Covid-19.

“Maka kita berharap orang ramai tidak perlu bimbang akan keberkesanan vaksin ini kerana ia telah melalui pelbagai ujian klinikal dan proses kajian bukan sahaja di luar negara malah di dalam negara.

“Oleh itu orang ramai jangan mudah terpengaruh dengan berita tidak sahih dan apa yang dilakukan oleh kerajaan pada masa ini adalah untuk memastikan semua rakyat negara ini selamat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here