Nilam Oshman
PELAKON dan pengacara, Janna Nick terpaksa meneruskan tindakan undang-undang kerana nyawanya terancam.
Selain ugutan bunuh, aktres itu memaklumkan dia menjadi mangsa provokasi, difitnah dan dilemparkan tuduhan palsu sehingga menyahaktifkan Instagram dan Twitternya baru-baru ini.
Jelas Janna, pertama sekali, dia ingin memberi penjelasan terhadap video tular berkaitan penyanyi K-Pop, mendiang Jong hyun itu.
“Apa yang boleh saya katakan kita telah ambil tindakan serius melalui undang-undang, masih dalam siasatan. Saya memang akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap individu yang memulakan provokasi dan fitnah terhadap saya.
“Saya terpaksa mengambil serius hal ini kerana video tersebut ditular kembali selepas tiga tahun, dan ini melibatkan isu kematian. Saya tidak akan permainkan isu kematian sama sekali… tidak mungkin datang dari mulut saya sendiri.
“Disebabkan itu, saya dituduh tidak menghormati kematian orang bukan Islam. Saya dituduh tidak sensitif akan kematian sesiapa pun yang mana saya rasa itu bukanlah saya,” katanya dalam sidang media secara langsung di Facebook Media Mulia.
Dalam masa sama, pelakon itu menjelaskan berkenaan kenyataan yang tular selepas menyahaktifkan akaun sosial medianya.
“Ada seseorang telah mengeluarkan kenyataan konon Janna ada reply komen seorang Ustaz menegur Janna agar tidak mempersendakan orang yang meninggal dunia.
“Dan di sini ada tulis saya membalas komen Ustaz itu dengan kenyataan, Ustaz peminat K-Pop ke jangan taksud sangat. Ini saya jujur saya betul-betul difitnah dan dianiaya,” luahnya.
Dalam isu Blackpink pula, Janna memohon maaf di atas kesilapan dan kekhilafannya, menggunakan Lisa ‘Blackpig’ dalam telefilem Delen.
“Bagi isu Blackpink juga, saya sebagai pengarah dan juga penerbit telefilem Delen mengambil tanggungjawab memohon maaf kepada semua yang terasa hati, terguris hati di atas caption itu,” katanya.
Bagi isu video tular tersebut, peguam Janna, Ben Syazmin dari Tetuan Tan Norizan & Associates memberitahu beberapa laporan polis telah dibuat dan kes ini disiasat dibawah seksyen 506 kanun keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman denda serta penjara tujuh tahun jika sabit kesalahan.
“Perkara ini juga dalam siasatan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Media Malaysia (SKMM), terutamanya dalam mendapatkan identiti pemilik akaun yang menggunakan nama samaran.
“Dalam pada itu, pihak kami selaku peguam Janna Nick juga dalam proses memfailkan tuntutan di mahkamah di bawah Akta fitnah 1957 terhadap penguna media sosial yang dikenalpasti menyebarkan fitnah, menyebabkan kerosakan reputasi dan perniagaan anak guam kami bagi menuntut bayaran pampasan kerugian yang dialami,” katanya.
Bagi isu kedua, iaitu Blackpig, beliau berkata, syarikat milik produksi, Janna Nick Studio turut terkena tempias.
“Lisa merupakan watak dalam filem Delen arahan Janna Nick, seorang perempuan yang menjengkelkan, tetapi merasakan dirinya pujaan ramai.
“Oleh itu, penggunaan caption Lisa Blackpig itu bagi membezakan tahap pencapaian dan penerimaan yang tidak layak untuk disamakan dengan Lisa Blackpink yang jauh lebih tinggi.
“Ia sama sekali tidak memburukkan Blackpink tapi adalah satu penghargaan kerana watak Lisa sedemikian dilihat sebagai seorang yang tidak layak untuk disama tarafkan dengan Lisa Blackpink,” ujarnya.
Malahan, katanya dalam telefilem tersebut juga memberi penghargaan kepada kumpulan blackpink dan budaya K-Pop.
“Iaitu dengan adanya watak kak Jennie yang dilakonkan oleh Sherry Al-hadad sebagai seorang peminat tegar kumpulan korea tersebut,” katanya. – Malaysiapost

