KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak membenarkan tindakan ‘memotong barisan’ bagi proses pemberian vaksin dalam kalangan pegawai dan kakitangan hospital.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menegaskan pemberian vaksin adalah mengikut keutamaan seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.
“Isu ‘memotong barisan’ (cutting queue) bagi mendapatkan vaksin adalah tidak dibenarkan dan ia akan disiasat untuk tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita mengenai dakwaan mengatakan pengurusan Hospital Serdang berhasrat memasukkan nama pegawai berpengaruh hospital terbabit dalam penerima vaksin esok.
Noor Hisham berkata, KKM menafikan perkara itu berlaku dan ia adalah palsu dan tidak benar.
“Semakan awal dengan Hospital Serdang mendapati bahawa sebagai menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak buah di hospital, pihak hospital bercadang untuk memberi vaksin Covid-19 kepada beberapa orang ketua jabatan klinikal selain anggota barisan hadapan (frontliners) yang lain.
“Ketua jabatan klinikal merupakan pakar perunding klinikal bidang masing-masing dan sememangnya terdedah kepada risiko Covid-19 dan kerap mempunyai kontak dengan pesakit mahupun waris semasa menjalankan tugasan,” katanya.
Menurutnya, pihak media dinasihatkan berhati-hati ketika membuat laporan dan hanya melapor perkara yang disahkan benar.
“KKM berharap laporan palsu seperti ini dapat diambil tindakan segera oleh pihak berwajib bagi mengelakkan salah faham di kalangan masyarakat.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyemak dahulu sebelum mempercayai sebarang berita atau menyebarkan kepada orang lain,” katanya. – Malaysiapost

