PAS guna ‘jalan tengah’ demi perdamaian dengan Umno, Bersatu

0
2

PAS mengambil pendekatan politik untuk menyatukan parti-parti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu di atas Dasar Perpaduan Ummah.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata atas sebab itu ia mengambil pendirian memperkukuh Muafakat Nasional (MN) dan mempertahan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, ia adalah jalan tengah yang diambil bagi mengusahakan perdamaian politik antara PAS, Umno dan Bersatu.

“Perdamaian politik ini amat perlu bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 yang akan datang.

“Setelah memerintah selama 22 bulan, PH telah membuktikan mereka adalah mudarat paling besar buat negara. Perpecahan mmmah adalah nafas baru kepada PH!,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Khairil Nizam yang juga Ketua Pemuda PN berkata, ada yang bertanya kepadanya, sekiranya PAS komited dengan agenda penyatuan ummah dan bersungguh mengajak Umno untuk terima Bersatu, boleh atau tidak PAS menerima parti lain, baik berasaskan Melayu atau bukan Melayu?

“Jawapannya boleh dengan syarat tanpa penjajaran politik dengan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Inilah pendirian tegas dan jelas demi agenda Kesatuan Ummah,” katanya.

Beliau memberi contoh pengajaran Sirah Nabawiyyah, Rasullullah SAW telah dijemput secara terhormat ke Madinah melalui Perjanjian Aqabah yang Pertama dan Kedua bagi menyelesaikan konflik peperangan Golongan Majoriti Aus dan Khazraj yang telah berlanjutan selama 120 tahun.

Katanya, mereka dapat didamaikan dengan keadilan dan akhlak Islam!

“Itulah formulanya. It’s not rocket science!Sekiranya semua pihak berpegang teguh dengan keadilan dan akhlak Islam, yakni sabar, berlapang dada, memaafkan, bertolak ansur, tidak terlalu dominasi, tidak mengkhianati konsensus/perjanjian, Insya-Allah kesatuan ini akan berjaya dan berkekalan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Pemuda PAS, Pemuda Umno dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) perlu fokus dan memperkasa titik persamaan antara tiga sayap parti itu dan jadikan ia sebagai pencetus kepada pengukuhan agenda kesatuan ummah.

“Percayalah, sekiranya sayap-sayap Pemuda ini boleh bersama, ia adalah masa depan yang cerah buat negara ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here