Kerajaan PN perlu segerakan tarikh sidang Parlimen

0
1

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) perlu menyegerakan tarikh persidangan Parlimen, kata Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid.

Ia susulan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat dikuatkuasakan pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda Umno Kuala Kangsar itu berkata ternyata kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong menunjukkan baginda amat prihatin dengan sistem demokrasi berparlimen negara ini yang perlu dijalankan, lebih-lebih lagi dalam menghadapi krisis pandemik Covid-19.

“Saya amat yakin YDP Agong juga prihatin terhadap keputusan kerajaan PN terutama yang melibatkan kepentingan rakyat tidak dilakukan dengan baik, malah adakalanya ‘flip-flop’ sehingga mengelirukan rakyat.

“Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said juga telah menekankan bahawa sistem legistatif negara telah lumpuh dan ini menyebabkan cabang eksekutif mempunyai kuasa penuh serta tidak dipertanggungjawabkan kepada Parlimen.

“Melalui sidang Parlimen, ahli dewan mempunyai peranan untuk membawa suara rakyat dan peranan semak dan imbang boleh dilakukan terhadap tindakan kerajaan agar ia bersifat lebih menyeluruh dan prihatin rakyat,” katanya.

Beliau berkata, ia juga dapat mengelak kerajaan PN mengambil tindakan yang mempunyai kepentingan politik atau peribadi dalam menguruskan krisis.

“Saya memohon agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat menasihatkan YDP Agong supaya sidang Parlimen ini dapat dijalankan segera, selanjutnya membuktikan kerajaan PN benar-benar menjunjung titah YDP Agong,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here