Mahathir merestui Muhyiddin jadi Perdana Menteri

0
2

Dr Kamarul Zaman Yusoff

Seronok melihat orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad dan sebelum ini Tun Dr Mahathir sendiri membantai Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengkhianat.

Sehingga ke peringkat tidak mahu mengakui fakta bahawa Tun Dr Mahathir sendiri pada 27 Februari telah secara terbuka menyatakan setuju menerima Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri jika beliau mendapat sokongan.

Fakta-fakta yang ada di depan mata kita menunjukkan pendedahan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki bahawa Tun Dr Mahathir sendiri memberi restu kepada pencalonan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri jika beliau mendapat sokongan di dalam pertemuan mereka di Pejabat Perdana Menteri pada 27 Februari adalah terbukti benar.

Ini kerana sebaik sahaja pertemuan antara Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin pada 27 Februari ini berakhir, Tun Dr Mahathir telah mengadakan satu sidang media bagi mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di mana dalam sidang media ini Tun Dr Mahathir telah ditanya oleh seorang wartawan mengenai hasil pertemuan mereka tersebut.

Jawapan yang diberikan oleh Tun Dr Mahathir adalah jelas, iaitu: “There are several possibilities that we discussed, including of course the possibility that Muhyiddin might become a candidate. If everybody chooses him, I am ok.”

(Ada beberapa kemungkinan yang kami bincangkan, termasuk kemungkinan Muhyiddin akan menjadi calon. Jika semua orang memilih beliau, saya ok.)

Tun Dr Mahathir ditanya lagi oleh wartawan ini: “Candidate as a PM?” (Calon sebagai PM?)

Jawab Tun Dr Mahathir:
“As a PM, ya.” (Sebagai PM, ya.)

Sebab itulah kenyataan Datuk Dr Marzuki bahawa inilah juga yang dimaklumkan oleh Tan Sri Muhyiddin kepada beliau sebaik sahaja Tan Sri Muhyiddin selesai berjumpa dengan Tun Dr Mahathir, di hadapan dua pemimpin Bersatu, iaitu Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq, dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Wira Marzuki, sangat boleh dipercayai.

Perlu diingat, selepas Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada petang 24 Februari 2020, Tan Sri Muhyiddin telah mengumumkan keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada 23 Februari 2020 bahawa semua Ahli Parlimen Bersatu akan terus menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Begitupun, temubual Yang di-Pertuan Agong secara individu dengan 222 Ahli Parlimen pada 25 dan 26 Februari 2020 menyaksikan Tun Dr Mahathir hanya mampu memperolehi sokongan 62 Ahli Parlimen sahaja walaupun pada pagi 25 Februari 2020 Tun Dr Mahathir memaklumkan kepada Tan Sri Tommy bahawa beliau memperolehi sokongan semua 222 Ahli Parlimen.

Ini kerana penentangan Umno dan PAS, yang memilih untuk berkecuali, serta penentangan PKR, DAP dan Amanah, yang memilih untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas hasrat Tun Dr Mahathir untuk menubuhkan kerajaan perpaduan yang beliau maklumkan kepada pemimpin tertinggi parti-parti politik yang menemui beliau pada 25 Februari 2020.

Ekoran kekalahan Tun Dr Mahathir ini maka satu mesyuarat khas antara semua Ahli Parlimen Bersatu telah dilangsungkan pada pagi 28 Februari 2020 yang mana mesyuarat khas ini, dengan Tun Dr Mahathir sendiri meninggalkannya lebih awal untuk memberi kebebasan kepada mereka memilih, telah mencalonkan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Setelah semua perkara yang dipersetujui, atau sekurang-kurangnya tidak ditentang, oleh Tun Dr Mahathir ini berlaku Tun Dr Mahathir secara mengejut mengumumkan keesokan harinya bahawa beliau pada pagi itu telah bermesyuarat dengan para pemimpin PH dan menyatakan kesediaan beliau untuk dicalonkan semula sebagai Perdana Menteri dengan dokongan PH.

Padahal keputusan Tun Dr Mahathir ini bercanggah dengan pengumuman oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Wira Marzuki, pada 24 Februari 2020, iaitu “Dalam Mesyuarat (Khas) Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada 23 Februari 2020 juga kita telah bersetuju untuk keluar daripada PH, inilah keputusan parti dan kita akur dengan keputusan parti”.

Oleh itu, janganlah mudah menuduh orang lain menipu tatkala bukti-bukti video/audio dan rekod-rekod lain yang ada menunjukkan bahawa andalah yang sebenarnya menipu.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia.

(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan ia tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here