Tun Faisal dipanggil Tribunal Lembaga Disiplin 1 Mac ini

0
1

TIMBALAN Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz hari ini mengesahkan bahawa beliau diminta menghadiri Tribunal Lembaga Disiplin parti itu pada 3 Mac ini.

Jelas Faisal, sepatutnya tribunal itu diadakan pada hari ini pada jam 2.30 petang.

Bagaimanapun, katanya, oleh kerana komitmen kerja, beliau tidak dapat menghadirinya dan telah meminta Lembaga Disiplin berkenaan memberikan tarikh baru kepadanya.

“Tarikh baru yang dipohon adalah pada 1 Mac 2021 dan pihak Lembaga Disiplin telah bersetuju dengan tarikh ini.

“Masa tribunal adalah jam 2.30 petang dan akan berlangsung di Tingkat 7, Menara Dato Onn, PWTC,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Faisal berkata, untuk membantu persiapan dan memberikan keadilan kepada dirinya sebelum dipanggil menghadiri tribunal itu, beliau juga telah memohon tiga perkara daripada Lembaga Disiplin tersebut.

“Permohonan ini dibuat selepas berbincang dengan rakan-rakan peguam dan pemimpin veteran Umno yang telah melihat bagaimana Lembaga Disiplin dan proses keadilan dilaksanakan di dalam parti sebelum ini, termasuklah dalam kes pemecatan Datuk Lokman Adam.

“Berikut adalah surat permohonan saya kepada Tan Sri Zul Hasnan Rafique, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Malaysia,” katanya.

Dalam surat tersebut, beliau meminta nama pengerusi dan senarai anggota tribunal itu.

Beliau mahu nama pengadu dan butiran aduan didedahkan termasuk perincian tentang dakwaan pelanggaran peraturan parti yang dilakukannya.

Tun Faisal dalam masa sama turut meminta kebenaran membawa dua orang pengamal undang-undang untuk hadir bersamanya sebagai pemerhati dan dan penasihatnya ketika tribunal berlangsung.

“Saya berharap agar tiga permintaan saya ini dapat dipenuhi memandangkan proses dan ketelusan tribunal ini amat penting bagi memastikan Umno dilihat adil dan mengenepikan persepsi bahawa Lembaga Disiplin dipergunakan untuk memenuhi kepentingan individu tertentu dalam parti.

“Surat jawapan terhadap dakwaan ke atas saya akan saya serahkan kepada Tan Sri semasa sesi panel tribunal nanti,” katanya.

Faisal sebelum itu diminta mengemukakan surat tunjuk sebab serta diarahkan hadir ke Tribunal Lembaga Disiplin Umno.

Ia berikutan kenyataan terbukanya mengkritik Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here