KERAJAAN setuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hostel Centennial, Kampung Acheh, Setiawan berikutan terdapat peningkatan kes Covid-19 di kawasan tersebut.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tempoh pelaksanaan PKPD itu bermula esok hingga 10 Mac depan.
Menurutnya, sehingga 21 Februari, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 349 ujian saringan dan daripada jumlah itu 125 orang didapati positif Covid-19.
“KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan tinggi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni asrama serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti. – Malaysiapost.

