PH minta PM segera nasihati Agong, panggil sidang Parlimen Mac ini

0
1

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjunjung titah dan segera menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen seawal Mac, sepertimana diperkenan Seri Paduka Baginda dalam Takwim Parlimen sebelum ini.

Perkara itu ditegaskan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menerusi kenyataan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Kenyataan itu menyebut, Majlis Presiden PH menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong atas pandangan yang dizahirkan hari ini bahawasanya Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.

Ketiga-tiga pemimpin berkata, ia selaras dengan apa yang termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

“Ini juga pendirian PH serta majoriti Ahli-Ahli Parlimen, bahawa pada ketika pihak Eksekutif dan Kehakiman boleh berfungsi sewaktu darurat berkuatkuasa,

“Parlimen juga perlu terus memainkan peranan dalam memastikan urustadbir kerajaan terjaga dan proses semak imbang diteruskan.

“Oleh itu, kami akan mendukung penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk memulihkan kedudukan Parlimen dalam memainkan peranan penting dalam Perlembagaan Malaysia, mengetengahkan isu-isu serta masalah dihadapi rakyat dalam usaha membendung pandemik Covid-19, serta merencana langkah bagi menghidupkan semula ekonomi negara,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Perkara itu dititahkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin menerusi kenyataan yang disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here