‘Lailer’ kini penyampai radio Hot FM

0
1

PELAKON Riena Diana dipilih menjadi penyampai radio terbaharu Hot FM menerusi segmen Geng Pagi Hot (GPH) bersama Fizie dan Mark Adam bermula hari ini.

Pemilik nama sebenar Nur Qamariena Diana Zulreal berkata, dia amat teruja untuk mengembangkan bakat dalam bidang penyiaran.

“Saya sangat teruja kerana dipilih menjadi sebahagian daripada Hot FM kerana saya ingin sentiasa mencuba sesuatu yang baru dalam karier dan mencabar diri sendiri untuk mencungkil bakat yang ada dalam diri.

“Sememangnya, kerjaya sebagai penyampai radio ini sangat mencabar tetapi saya ambil peluang ini untuk mendalami ilmu penyiaran radio. Saya ingin buktikan kepada diri sendiri dan pendengar bahawa saya mempunyai bakat dalam bidang radio dan pengacaraan.

“Cuma masih banyak yang perlu saya pelajari untuk memastikan kualiti penyampaian itu di tahap yang tertinggi,” katanya hari ini.

Menurut Riena yang popular dengan watak ‘Lailer’ dalam siri Kampung People itu juga, kesempatan bergelar penyampai radio juga menjadi platform terbaik untuk mengasah bakat sebagai artis serba-boleh.

Terdahulu, Riena dijemput sebagai penyampai jemputan di Hot FM beberapa minggu lalu bersama Haziq dan Deen.

Ketua Audiens Melayu, Nik Nor Azura Nik Mahmood berkata, gandingan terbaharu GPH kali ini pastinya akan memberi kelainan serta menyifatkan ia satu transformasi besar buat Hot FM.

“Seperti yang kami selalu beritahu, Hot FM sentiasa mencari bakat dan muka baru dalam bidang penyiaran radio. Kami dapat lihat potensi dan komitmen Riena sewaktu dijemput untuk menjadi penyampai jemputan bersama Haziq dan Deen.

“Penyampaian Riena sangat bersahaja dan tidak kekok walaupun dia pertama kali ke udara sebagai penyampai radio. Selama dua minggu bersiaran sebagai penyampai jemputan, kami juga melihat Riena mempunyai kebolehan untuk berfikir secara kreatif dan spontan untuk mencetuskan perbualan bersama penyampai lain di udara.

“Riena juga diberi peluang untuk menjalani sesi uji bakat bersama Mark Adam dan Fizie dan dari sesi itu, keserasian mereka wujud dalam masa yang singkat dan ini menguatkan lagi gandingan mereka bertiga untuk terus hiburkan pendengar pendengar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Nik Nor Azura, kali terakhir penyampai wanita ke udara di segmen pagi di Hot FM adalah ketika bersama Fara Fauzana oleh itu kehadiran Riena di dalam GPH bakal memberi perubahan yang besar buat stesen radio itu. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/15/mark-adam-ganti-shuk-dalam-gph-di-hot-fm/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here