Longgokan barang tertera nama syarikat kurier ditemui di tempat sampah

0
2

LAMBAKAN bungkusan barang sebuah syarikat kurier ditemui di tempat pembuangan sampah berhampiran Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kuching Tengah, Kuala Selangor.

Penemuan tersebut tular di media sosial sosial sejak kelmarin menerusi dua video masing-masing berdurasi 16 dan 26 saat.

Kedua-dua video itu menunjukkan lambakan bungkusan barang, sebahagiannya masih berbungkus dan berada di dalam guni tertera nama sebuah syarikat kurier, lapor Sinar Harian.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Tengah, Saharudin Zam Zam berkata perkara itu mula dikesan di kampung tersebut pada Isnin lalu.

“Saya mengesahkan kejadian ini selepas melihat sendiri lambakan bungkusan yang saya anggarkan 80 peratus tertera logo sebuah syarikat kurier,” katanya kepada Sinar Harian.

Saharudin berkata, beliau mengetahui terdapat longgokan di tempat pembuangan sampah selepas rakannya memuat naik status di Facebook kira-kira jam 5.30 petang.

“Saya terus ke tempat pembuangan terbabit dan melihat longgokan guni serta bungkusan terbabit.

“Bagaimanapun, lambakan bungkusan terbabit kemudiannya dibakar pihak tidak bertanggungjawab pada pagi Selasa,” katanya.

Beliau tidak mengetahui sama ada bungkusan itu mengandungi barangan pelanggan atau bungkusan kosong yang sengaja dibuang.

“Semuanya dalam keadaan berbungkus dan saya tidak tahu motif pihak terbabit sama ada bungkusan yang dibuang itu ada unsur sabotaj atau khianat pihak lain,” katanya.

Katanya lagi, beliau kemudian menghubungi syarikat kurier dan bertemu sendiri dengan kakitangan syarikat kurier di pejabat cawangan berhampiran.

“Mereka (kakitangan) memaklumkan bungkusan dan guni yang ditemui itu bukan milik mereka.

“Saya juga tidak membuat laporan polis kerana tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang melakukan perbuatan tersebut,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here