Penjara 1,830 tahun menanti peniaga air tebu

0
2
grafik

SEORANG peniaga air tebu bakal berdepan hukuman 1,830 tahun penjara jika disabitkan kesalahan melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuan kandungnya.

Tertuduh berusia 42 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang, hari ini atas 55 pertuduhan melakukan sumbang mahram serta sembilan pertuduhan merogol rakan anaknya berusia 14 tahun sejak April 2019.

Bapa kepada tujuh anak termasuk dua anak tiri itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.

Mengikut pertuduhan pertama hingga 55, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan pada April 2019 sehingga Januari 2021 bertempat di rumahnya di Klang didakwa melakukan sumbang mahram dengan persetubuhan dengan anak kandungnya.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat.

Bagi pertuduhan merogol rakan anaknya, tertuduh berdepan sembilan pertuduhan merogol kanak-kanak 14 tahun itu pada Ogos 2020 hingga Januari 2021 di rumahnya di Klang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar dan tertuduh diwakili peguam Khairul Naim Rafidi.

Tertuduh juga sempat mencelah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya seolah-olah hairan kerana terlalu banyak pertuduhan.

“Boleh saya tanya, kenapa pertuduhan saya terlalu banyak?” kata tertuduh.

Terdahulu, peguam mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan dia diikat jamin dengan syarat yang ketat.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah sebarang jaminan dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan seksual dan serius dilakukan tertuduh.

Hakim Kunasundary kemudian menetapkan tiada jaminan terhadap tertuduh dan 24 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berdasarkan semua pertuduhan yang dibacakan, tertuduh bakal berdepan hukuman 1,830 tahun penjara jika disabitkan kesalahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here