KPDNHEP tambahbaik, kemaskini SOP Sektor Perdagangan Pengedaran

0
2

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor perdagangan pengedaran yang telah ditambahbaik dan dikemaskini.

Penambahbaikan dan pengemaskinian SOP itu bersesuaian dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) khusus untuk sektor peruncitan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia juga diselaraskan dengan SOP am dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan syarikat peruncitan, pemborongan dan pengedaran dapat mematuhi sepenuhnya SOP berkenaan.

Menurutnya, antara SOP terbabit adalah operasi restoran bagi semua negeri sama ada PKP, PKPB dan PKPP, pelanggan dibenarkan makan di restoran berdasarkan saiz meja dengan penjarakan sekurang-kurangnya satu meter.

“Pakaian, fesyen dan aksesori berkaitan, aktiviti acu baju dan bilik acu baju tidak dibenarkan selain sarung tangan pakai buang perlu disediakan bagi negeri PKP.

“Sebaliknya di negeri PKPB dan PKPP aktiviti itu dibenarkan serta penggunaan sarung tangan pakai buang tidak perlu disediakan tetapi digalakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi kedai fotografi di kawasan PKP aktiviti terhad hanya untuk gambar kad pengenalan, pasport dan lesen sahaja dengan seorang pelanggan pada satu masa, manakala di negeri lain aktiviti studio dibenarkan tanpa had pelanggan.

Katanya, kedai cuci kenderaan hanya dibenarkan secara pandu lalu sahaja selain motosikal di kawasan PKP dan sebaliknya semua aktiviti cucian dibenarkan di negeri dikenakan PKPB atau PKPP.

“Bagi pusat pengedaran dan jualan kereta di negeri PKP aktiviti pandu uji tidak dibenarkan dan sebaliknya di kawasan PKPB dan PKPP.

“Kedai cermin mata dan optikal hanya dibenarkan pembelian serta pembaikan tanpa bersemuka di negeri PKP, manakala rundingan secara bersemuka dibenarkan di negeri lain,” katanya.

Beliau berkata, kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi di kawasan PKP, aktiviti penggunaan ‘tester’ tidak dibenarkan serta rundingan secara bersemuka tidak dibenarkan dan sebaliknya di kawasan PKPB dan PKPP.

“Bagi kedai gunting rambut, hair dresser, salon kecantikan di negeri PKP hanya gunting rambut asas sahaja dibenarkan, manakala semua aktiviti gunting dibenarkan di negeri PKPB dan PKPP kecuali korek telinga, gunting bulu hidung, urut kepala/bahu/badan tidak dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, pematuhan SOP Sektor Perdagangan Pengedaran itu adalah penting untuk mempercepatkan pembentungan penularan Covid-19 dan KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas termasuk kompaun serta penutupan premis jika gagal mematuhi SOP ditetapkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here