MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan penangguhan sementara terhadap keputusan kerajaan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar.
Kumpulan itu dilaporkan sudah dibawa ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut untuk dihantar pulang dengan menaiki kapal tentera laut Myanmar hari ini.
Bagaimanapun, mereka sudah diberi penangguhan sekurang-kurangnya sehingga jam 10 pagi esok untuk pendengaran penangguhan tersebut, lapor portal FMT.
Kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International dan Asylum Access sebelum ini memohon perintah mahkamah untuk menghentikan pengusiran itu.
Terdahulu, Malaysia memulakan penghantaran pencari suaka dan tahanan lain dari Myanmar ke pelabuhan, dengan kapal tentera laut sedang menunggu untuk membawa mereka pulang ke negara asal.
Ia di sebalik kumpulan hak asasi manusia berusaha menghentikan pengusiran itu di mahkamah, atas alasan ia merisikokan nyawa mereka.
Seramai 1,200 tahanan dijadualkan pulang dengan tiga kapal tentera laut dihantar Myanmar, yang melakukan rampasan kuasa 1 Februari lalu dan mencetuskan demonstrasi oleh aktivis pro-demokrasi sejak itu.
Kumpulan pelarian berkata, pencari suaka daripada minoriti Chin, Kachin dan komuniti Islam bukan Rohingya melarikan diri daripada konflik serta penindasan di negara itu, antara mereka yang akan dihantar pulang.
Malaysia dilaporkan tidak akan menghantar pulang etnik Rohingya Islam atau pelarian yang berdaftar dengan UNHCR. – Malaysiapost

