SYARIKAT pengeluar kondom, Karex Bhd merekodkan peningkatan 27 kali ganda bagi keuntungan bersih kepada RM2.79 juta pada suku kedua berakhir 31 Disember 2020, berbanding RM102,000 tahun sebelumnya.
Prestasi memberangsangkan pada suku dikaji itu disumbangkan jualan kukuh kondom dan pelincir, lapor Berita Harian.
Menurut laporan itu, pendapatan syarikat tersebut meningkat 6.1 peratus untuk mencecah rekod tertinggi RM115.75 juta, berbanding RM109.9 juta sebelumnya.
“Di sebalik gangguan disebabkan pandemik Covid-19, jumlah jualan kondom ke pasaran tender dan komersial terus berkembang,” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi tempoh terkumpul enam bulan berakhir 31 Disember 2020, Karex melaporkan keuntungan bersih RM7.24 juta, berbanding kerugian bersih RM65,000 dalam tempoh sama tahun sebelumnya berikutan jualan lebih memberangsangkan.
Pendapatannya dalam tempoh itu meningkat 6.18 peratus kepada RM217.48 juta daripada RM204.82 juta, berikutan jualan kondom lebih tinggi dalam pasaran komersial, terutama di rantau Asia dan Amerika.
Berhubung prospek, kumpulan kekal yakin ia dalam landasan untuk mengatasi cabaran operasi, berpunca daripada pandemik Covid-19, bagi memanfaatkan potensi peluang daripada penekanan baharu global terhadap kebersihan serta pencegahan penyakit. – Malaysiapost

