SELEPAS tertangguh lama akibat pandemik Covid-19, Perhimpunan Agung Umno 2020 kini dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan tarikh berkenaan dan penganjurannya adalah kombinasi perhimpunan secara bersemuka dan maya.
“Segala prosedur operasi standard (SOP) sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) akan dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perhimpunan Agung Umno 2020 sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Januari lalu, namun ditangguhkan selaras proklamasi darurat dan PKP yang masih berkuatkuasa sehingga kini.
Sementara itu, Ahmad berkata bagi sambutan ulang tahun ke-75 Umno pada 11 Mei ini pula, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan sempena sambutan Jubli Intan kelahiran parti tersebut.
“Antara aktivitinya adalah sayembara (pertandingan) penulisan puisi, video pendek dan mencipta logo.
“Maklumat lanjut mengenai tiga sayembara ini boleh dilayari di www.umno-online.my,” katanya. – Malaysiapost

