RAKYAT dinasihatkan jangan bimbang dalam memberi kerjasama untuk mendapatkan vaksin Pfizer-BioNTech.
Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kerajaan telah melakukan pelbagai kajian berkaitan aspek keselamatan dan kesihatan terhadap vaksin itu sebelum bersetuju membenarkan rakyat Malaysia menerima suntikannya.
“Justeru, Wanita Umno amat berharap seluruh rakyat memberikan kerjasama dalam pengagihan vaksin ini nanti.
“Tingkatkan pengetahuan kelebihan vaksin ini kerana vaksinasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga yang tersayang.
“Pastinya kerajaan telah mempertimbangkan segala segi sebelum mendapatkan vaksin ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Setelah lebih setahun berperang dengan pandemik Covid-19, vaksin yang menjadi harapan rakyat Malaysia selamat tiba kelmarin.
Menurut Noraini yang juga Menteri Pengajian Tinggi, ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech di Malaysia memberikan sinar baharu dalam perjuangan negara menentang dan melandaikan pandemik Covid-19.
“Wanita Umno juga ingin mengucapkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pasukan barisan hadapan yang sentiasa tekun dan berdedikasi dalam menjaga kesihatan rakyat di kala menghadapi cabaran Covid-19.
“Perbekalan vaksin ini merupakan usaha besar kerajaan dalam menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat. Sebanyak RM2.05 bilion (jumlah awal) dibelanjakan bagi mendapatkan vaksin yang akan diberi secara percuma kepada rakyat.
“Marilah kita bersama-sama berganding bahu menentang pandemik Covid-19 ini,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

