PAS yakin pertikaian 15 kerusi membabitkan Umno dan Bersatu dapat diselesaikan setelah pembahagian kerusi lain sudah dirunding dengan baik.
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebahagian besar 15 kerusi itu sebelum ini dimenangi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, namun Ahli Parlimennya menyertai Bersatu.
“Setakat ini kira-kira 60 peratus agihan kerusi berjaya diselesaikan menerusi rundingan bersama antara Barisan Nasioanl (BN) dan Perikatan Nasional (PN) termasuk PAS.
“Dalam PN tiada masalah, cuma kalau ada yang dalam BN berkaitan kerusi-kerusi lompat, itu yang dipertikaikan. Takkan kerana 15 kerusi ini sahaja kita mahu korbankan 160 kerusi yang lain.
“Saya rasa akan ada jalan keluar. Kalau nak berebut juga, maka bertanding tiga penjuru di 15 kerusi itu sudahlah,” katanya seperti dilapor BH.
Muhammad Sanusi berkata, bagi pihak PAS, pertikaian kerusi membabitkan parti itu dengan Umno atau BN tidak berlaku dan parti itu kini bersiap sedia untuk turun berkempen pada PRU akan datang.
“Di pihak PAS berjalan dengan baik. Kita mesyuarat menyusun rancangan, semua berjalan baik. Pembahagian kerusi dengan parti yang berpakat untuk PRU15 sedang berjalan dan kita melepasi 60 peratus,” katanya.
Antara 15 kerusi itu ialah Parlimen Jeli, Tanah Merah, Larut, Mersing, Hulu Terengganu, Masjid Tanah, Beluran, Bagan Serai, Tasek Gelugor dan Bukit Gantang. – Malaysiapost

