PARTI Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan menjelaskan berhubung dakwaan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bakal dikorporatkan.
Parti itu juga menggesa agar penjelasan diberikan berhubung dakwaan pemilikan ekuiti oleh pihak ketiga.
Dalam satu kenyataan,Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin meminta kerajaan mengesahkan perkara berkenaan.
“Jika benar AIM diperbadankan adalah dikhuatiri bahawa matlamat asal kerajaan untuk mengurangkan kemiskinan akan gagal dan tidak akan tercapai, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang dihimpit oleh pandemik Covid-19.
“Difahamkan langkah perbadanan AIM ini disusuli dengan penyelesaian hutang atau pinjaman AIM daripada kerajaan pusat yang akan dibayar oleh pihak ketiga iaitu sebuah syarikat swasta.
“Saya khuatir langkah ini akan menggugat matlamat asal penubuhan AIM selain menjejaskan masa depan kakitangan yang sedang berkhidmat di AIM,” katanya dalam satu kenyataan
Beliau berkata, jika benar AIM hendak dikorporatkan dengan ekuiti turut dikuasai oleh syarikat swasta yang tiada kaitan langsung dengan usaha pembasmian kemiskinan, kerajaan wajar membatalkan rancangan pengkorporatan itu, yang sudah pasti tidak akan memanfaatkan rakyat terutama golongan miskin.
“Kita tidak mahu kes-kes masa lalu program pengkorporatan yang membebankan rakyat miskin dan tidak berkemampuan berulang.
“Kesilapan masa tidak harus diulang. Kerajaan perlu mencari usaha lain untuk menyelamatkan AIM jika benar-benar AIM berhadapan dengan aliran wang tunai atau masalah kewangan,” tegasnya.
AIM ialah sebuah badan amanah persendirian di Malaysia yang ditubuhkan pada 17 September 1987 melalui Suratcara Perjanjian AIM dan didaftarkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 pindaan 1981 (Akta 258).
Penubuhan AIM dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dan dibiayai oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM), Kerajaan Negeri Selangor dan Pusat Pembangunan Asia Pasifik.
Objektif penubuhan AIM ialah untuk mengurangkan kemiskinan di Malaysia melalui pengeluaran pembiayaan ikhtiar kepada penduduk miskin di luar bandar untuk membiayai kegiatan-kegiatan kecil-kecilan yang menambahkan pendapatan.-Malaysiapost

