ATM terima vaksin Covid-19

0
2

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menerima bekalan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa 1 hari ini.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan vaksin kini ditempatkan di Hospital Angkatan Tentera (HAT), Tuanku Mizan Zainal Abidin.

“Vaksin ini kini ditempatkan 93 Depot Perubatan dan Pergigian (93 DPP AT), HAT Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menjadi pusat pertama menerima pengagihan vaksin yang sejumlah 4,680 dos bersamaan dengan 780 vials untuk diagihkan kepada 2,340 penerima.

“Manakala, 94 HAT Terendak dan 96 HAT Lumut akan menerima penghantaran berikutnya pada petang ini dengan agihan masing-masing berjumlah 2,340 dos,” menurut kenyataan yang dikongsi di Facebook Kementerian Pertahanan Malaysia.

Menurut kenyataan itu lagi, MATM-BPK dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyenaraikan lima fasiliti kesihatan ATM sebagai Pusat Simpanan Vaksin (PSV) yang akan menjadi pusat pengagihan dan juga Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Fasiliti itu adalah 93 DPP AT (Kuala Lumpur) 94 HAT (Melaka), 96 HAT (TLDM Lumut), Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu, Sabah (HAT WKK) dan 801 Rumah Sakit Angkatan Tentera, Kem Penrissen, Kuching, Sarawak (801 RSAT).

“Pengagihan vaksin daripada lima PSV ATM kepada 54 buah PPV ATM akan menggunakan aset-aset ATM seperti pesawat TUDM (penerbangan logcomm), helikopter dan kenderaan darat sedia ada” katanya.

Selain itu, aspek keselamatan penjagaan rangkaian sejuk (cold chain management) akan diutamakan bagi memastikan vaksin tidak rosak semasa pengangkutan dan pemindahan kepada PPV sekali gus dapat mengelakkan pembaziran dan kerugian kepada pihak kerajaan.

“Diantara kriteria keutamaan penerima vaksin bagi petugas barisan hadapan adalah bergantung kepada ketersediaan PPV berkaitan dengan aset-aset sokongan yang penting seperti Top Loading Fridge (TLF), Coldbox, Carrier Box dan Temperature Data Logger yang telah sempurna dibuat proses Testing and Commissioning (T&C),” katanya.

Kementerian Pertahanan turut memaklumkan, kriteria penerima juga telah dikenalpasti mengikut keutamaan antaranya petugas kesihatan, anggota ATM yang bertugas di barisan hadapan, anggota berumur 50 tahun ke atas, anggota ATM dalam zon merah dan anggota yang bertugas di Pusat Operasi, MK Formasi dan Unit Strategi ATM/Kementerian serta anggota yang terdedah kepada jangkitan kerana faktor bekerja dan berurusan dengan pihak luar.

“Secara keseluruhan, ATM bakal menerima sejumlah 84,240 dos dalam enam penghantaran secara berperingkat dalam Fasa 1 melalui lima PSV ATM.

“Bagi penghantaran pertama, sejumlah 10,530 dos bakal diterima untuk semua PSV ATM yang akan diberikan kepada 5,265 penerima Kategori Kumpulan Utama (1) iaitu petugas kesihatan barisan hadapan,” katanya.

Menurutnya, terdapat lima lagi penghantaran yang bakal diterima secara berperingkat sehingga penghujung bulan Mac 2021 yang mencakupi baki sebanyak 73,710 dos bersamaan dengan 36,855 penerima Kategori Kumpulan Utama (2) iaitu petugas barisan hadapan merangkumi perkhidmatan penting dan pertahanan.

“Diharapkan segala usaha ini dapat dijalankan dengan lancar bagi memastikan semua warga Kementerian dan ATM mendapat suntikan ini dengan kadar segera,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here