PKPD di dua kampung di Sarawak, Sabah

0
1

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di dua kawasan di Sarawak dan Sabah selama dua minggu bermula esok hingga 8 Mac ini

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, dua lokaliti itu adalah membabitkan Kampung Emperoh Jambu di Padawan, Sarawak dan Kampung Tanah Merah di Kota Marudu, Sabah, susulan berlaku peningkatan kes mendadak.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) turut memaklumkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti di kawasan terbabit juga tinggi.

“KKM melaporkan situasi Covid-19 di Kampung Emperoh Jambu sehingga kini sebanyak 60 kes positif dilaporkan.

“Sementara di Kampung Tanah Merah sebanyak 57 didapati positif Covid-19 hasil 226 ujian saringan yang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, PKPD di dua lokaliti itu bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar ke atas hampir 1,215 penduduk di Sarawak dan hampir 545 di Sabah.

Sementara itu, Ismail berkata seramai 509 individu ditahan semalam kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 466 daripadanya dikompaun dan 39 direman manakala empat lagi dijamin.

“Kesalahan cuba merentas daerah, negeri tanpa kebenaran mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 120.

“Antara kesalahan lain ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (111), tiada penjarakan fizikal (95), antiviti perjudian (54), tidak memakai pelitup muka (49), aktiviti pusat hiburan (37), keluar rumah tanpa alasan munasabah (11), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (8) dan lain-lain (24),” katanya.

Menurutnya, bagi Operasi Benteng (Op Benteng) pula pihak berkuasa menahan seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) semalam dan merampas lima kenderaan darat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here