Jika kuasa media disalah guna, buruk padahnya – Abdul Hadi

0
2

PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan orang ramai betapa bahaya media sekiranya disalahgunakan, sehingga boleh mendatang fitnah dan memudaratkan sesebuah negara dan agama.

Beliau berkata, kini kita berada pada zaman berlakunya perang media atau perang siber yang semakin canggih.

Menurutnya, apabila media dijadikan senjata terpenting kerana peranannya bukan sahaja memasuki ke dalam negeri malah merentasi angkasa tanpa sempadan, bahkan memasuki ke dalam rumah dan pemikiran, lalu mempengaruhi kehidupan manusia.

“Terdapat satu pendekatan terkini terhadap Islam, iaitu mencari kesalahan orang Islam, sama ada mereka yang tidak bersalah tetapi disebarkan fitnah atau mereka yang benar-benar bersalah dengan nyata.

“Namun kesalahannya dijadikan senjata untuk menikam ajaran Islam,” katanya menerusi Facebook.

Abdul Hadi berkata, peranan media yang menjalankan tugas syaitan untuk menyerang Islam ialah membesar-besarkan berita yang melibatkan orang Islam, khususnya para agamawan atau pemimpin yang terjerumus ke dalam maksiat, atau dikira tersilap melakukannya.

“Berita itu diletakkan pada muka hadapan media tajaannya dan diulang-ulang untuk disebar luaskan. Matlamatnya hanyalah untuk menghina Islam.

“Media ini juga memainkan peranan melakukan provokasi terhadap mana-mana orang atau kumpulan Islam yang melampau pendekatannya yang tidak bijak terhadap Islam kerana tidak mempunyai ilmu atau berilmu tanpa mempunyai kebijaksanaan.

“”Tujuannya bagi mempromosikan Islam secara negatif, seperti ke arah menggalakkan lagi Islamofobia yang menjadi senjata Barat bagi menentang Islam pada hari ini,” tegasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here