Kerjasama dengan DAP? Ini penjelasan Presiden Umno

0
1

Najamuddin Mohd Nor

UMNO tidak sesekali akan menggadaikan prinsipnya untuk menjalinkan kerjasama politik dengan DAP dalam usaha merampas kembali takhta kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu tidak mengamalkan konsep matlamat menghalalkan cara sepertimana Tun Dr Mahathir Mohamad yang sanggup bekerjasama dengan DAP semata-mata untuk kembali berkuasa menjadi Perdana Menteri pada PRU14 lalu.

“Di luar sana seolah-olah Umno mahu bersekongkol dengan parti yang didoktorinasikan oleh pemimpin yang sangat bencikan parti berkenaan, yang akhirnya berpelukan dengan penuh erat bagi mencapai matlamat politiknya,” katanya kepada Malaysiapost.

Beliau berkata demikian dalam temubual eksklusif menerusi program bual bicara Sudut Pandang terbitan Malaysiapost malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, Umno tidak pernah terlintas untuk bekerjasama dengan DAP, malah tidak pernah mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti pembangkang setakat ini.

“Terlalu awal untuk menyatakan kita mahu bergabung dengan parti itu dan parti ini, dan kita tidak pernah berbincang, tidak pernah adakan perbincangan secara formal atau tidak formal,” tegasnya.

Ditanya adakah beliau menyokong penjajaran baharu bagi menyelesaikan kemelut politik Perak tahun lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menafikan kononnya Umno sedia membuka pintu kepada DAP ketika itu.

Katanya, apabila menyebut jajaran baharu ketika menentukan kerajaan di Perak, spekulasi berlaku seolah-olah beliau ingin mendakap DAP.

“Apa yang berlaku ialah jajaran baharu mengikut ‘confident, supply, agreement’, di mana 59 Ahli Dewan Undangan (Adun) Perak dari pelbagai parti termasuk parti yang menganggotai Perikatan Nasional (PN) diberi peruntukan sama dengan pembangkang.

“Itulah jajaran baharu sebagaimana juga berlaku di Johor, di mana parti yang tidak mendokong PN dengan Menteri Besar yang baharu diberikan peruntukan yang sama.

“Adakah dengan adanya penyertaan parti-parti yang berada di luar PN ini dianggap kita bersengkongkol politik dengan pihak berkenaan?,” soal beliau.

Justeru, Ahmad Zahid berharap rakyat khususnya ahli Umno tidak cepat melatah dengan sebarang spekulasi yang tersebar, sebaliknya perlu berhati-hati untuk memahami setiap pergerakan politik yang berlaku. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here