PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan pemilihan parti melibatkan cawangan, bahagian hinggalah ke peringkat kepemimpinan tertinggi akan diadakan tahun ini.
“Sebagai Presiden Umno yang amat demokratik, maka kita mahu pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian serta kepimpinan tertinggi Umno di peringkat nasional mesti diadakan tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temubual eksklusif menerusi program Sudut Pandang yang disiarkan Malaysiapost, malam ini.
Ahmad Zahid berkata, tarikh pemilihan parti belum diputuskan, namun akan diadakan selewat-lewatnya hujung tahun ini, selepas selesai Perhimpunan Agung Umno yang beberapa kali ditangguhkan kerana Covid-19.
“Perhimpunan agung wajib diadakan setiap tahun. Perhimpunan Agung Umno 2020 belum diadakan atas sebab prosedur operasi standard (SOP).
“Kita merancang mengadakannya pada 31 Januari 2021, itu pun ditangguhkan. Maka keutamaan harus diberikan kepada Perhimpunan Agung yang tertangguh itu.
”Tetapi saya telah berjanji, hakikatnya penggal kepimpinan Umno sekarang ini yang dipilih pada tahun 2018, akan berakhir pada 31 Disember 2021,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri mengakui tidak logik seorang Presiden parti yang menyokong sebuah kerajaan, tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan.
Beliau turut menyindir pihak tertentu yang sengaja meneruskan agenda kerajaan terdahulu untuk menjatuhkan Umno dengan membuat pelbagai tuduhan terhadap pemimpin parti itu di mahkamah.
“Secara adilnya pemimpin yang berada dalam kerajaan atau pemimpin parti yang masih mendokong kerajaan, dari segi logik akal politiknya mesti berada dalam kerajaan.
“Hakikatnya apabila lemparan tuduhan yang sengaja direka oleh pemimpin sebelum itu dan diteruskan oleh pemimpin sekarang ini, saya harus menghadapinya dan biarkan saya membersihkan nama saya. Dan tentunya tuduhan-tuduhan ini adalah tuduhan politik.
“Kalau kita baca tulisan Tommy Thomas (bekas Peguam Negara) jelas pertuduhan ini sengaja direka untuk memalu, mengaib dan menjatuh serta meruntuhkan bukan sahaja individu tetapi juga organisasi atau pun parti politik yang diketuai oleh musuh politik,” tegasnya. – Malaysiapost

