Pasport vaksin jadi dokumen pengesahan individu telah terima suntikan

0
2

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan kerajaan berhasrat mengeluarkan pasport vaksin sebagai dokumen pengesahan bagi individu yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menurut beliau, perkara itu sedang diperhalusi Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Ketika ini, kita cadangkan dua kaedah iaitu dipaparkan (terima suntikan) pada aplikasi MySejahtera.

“Kaedah kedua ialah dokumen secara fizikal iaitu dalam bentuk pasport yang boleh diterima negara lain,” katanya hari ini.

Beliau membuat kenyataan tersebut ketika sidang media selepas majlis penyerahan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sementara itu, Malaysia sedang memuktamadkan urusan penggunaan dokumen vaksin bagi membolehkan individu yang tiba di lapangan terbang dan mempunyai rekod vaksinasi tidak perlu dikuarantin.

Ka Siong berkata, perbincangan ke arah itu sudah dimulakan bersama KKM dan MOSTI.

“Kita sudah berbincang bahawa kita perlukan dokumen bagi mereka yang sudah menerima vaksin.

“Ini sama yang berlaku dengan Singapura, mereka sudah berjumpa dengan saya untuk menentukan sama ada kita boleh membuat perakuan bersama.

“Hal ini sudah kita bincangkan di bawah Wisma Putra supaya dapat menerima satu dokumen yang boleh diterima negara serantau.

“Rundingan sedang berjalan dan kita akan buat tindakan susulan,” katanya ketika sidang media sama.

Menurut Ka Siong, dokumen itu berupaya menghidupkan kembali sektor penerbangan di Malaysia dan serantau yang sebelum ini terjejas teruk susulan sekatan penerbangan keluar masuk disebabkan penularan pandemik Covid-19.

Sebelum ini, media melaporkan Immunitee Health Passport dari Malaysia bekerjasama dengan Affinidi yang diasaskan oleh syarikat Temasek, untuk menyediakan pasport kesihatan pertama dan diterima di Singapura menerusi platform digital Unifier Affinidi.

Immunitee Health Passport adalah sistem menyimpan rekod imunisasi peribadi dan data vaksin, yang membantu memudahkan proses pemeriksaan pengguna di pusat pemeriksaan kesihatan sempadan.

Ia juga bertujuan memastikan perlindungan data dan keselamatan menerusi blockchain dan mengesahkan ketulenan ujian dan vaksin Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here