Isu murtad: YADIM gerak jentera jadi benteng, pertahan akidah umat

0
1

YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan menggerakkan seluruh jenteranya di peringkat nasional dan negeri untuk membina benteng sekali gus menyemarak usaha dakwah ke arah mempertahankan aqidah dan pemikiran umat Islam.

Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan berkata gerakan riddah (usaha memurtadkan umat Islam) tidak boleh dipandang ringan.

Katanya, selain daripada pihak berkuasa yang mengambil langkah menyiasat dan bertindak di atas peruntukan undang-undang sedia ada, YADIM akan berperanan mengukuhkan kefahaman umat Islam terhadap agama dan cara hidup berpandukan petunjuk Allah swt.

“YADIM akan turut menggerakkan dua agensi pentingnya iaitu Majlis AMAL Islami Malaysia (MAIM) yang dianggotai 280 NGO Islam dan Nadwah Ulamak dan Intelektual Islam YADIM (NUIM) untuk mendepani gerakan riddah dalam negara ini.

“Isu riddah ini Insya-Allah akan ditangani secara bersepadu antara YADIM bersama agensi agama yang lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Agensi tersebut antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Mufti, Majlis Agama di negeri-negeri dan TV Al Hijrah, selain pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Nasrudin berkata usaha tersebut dilaksanakan bagi memastikan dua aspek utama dapat ditangani dengan tuntas:

Aspek Pertama: Pemahaman dan pengukuhan aqidah Islamiah dan syariatnya dikalangan umat Islam

Aspek Kedua: Pemahaman dan kepatuhan seorang warga negara kepada peruntukan Perlembagaan khasnya Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan, namun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di dalam negara ini. Serta Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang mengawal penyebaran iktiqad lain kepada umat Islam.

Beliau berkata, YADIM juga menghargai ketegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam isu tersebut.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata identiti seorang lelaki yang tular dalam media sosial baru-baru ini kerana dipercayai memurtadkan seorang wanita Islam, telah dikenal pasti.

Beliau berkata ini susulan pemeriksaan polis di sebuah rumah di Perjiranan Bandar Dato Onn di Johor Bahru, jam 9.50 malam tadi.

“Pemeriksaan itu hasil maklumat yang menyatakan terdapat sekumpulan orang awam berkumpul untuk menyerbu premis itu kerana mengesyaki lelaki berkenaan berada di dalam premis.

“Polis telah mengawal keadaan dan hasil pemeriksaan, rumah itu hanya didiami ayah dan kakaknya manakala suspek berusia 29 tahun tiada di situ. Oleh itu, tiada tangkapan dan rampasan dibuat,” katanya.

Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah peruntukan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 serta Seksyen 298 dan 505 (C) Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here