SPRM tahan 7 pegawai JPJ berhubung penyelewengan RM3.1 juta

0
2

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh petugas kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor hari ini bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) melibatkan lebih 1,000 jenis kenderaan.

Mereka terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 42 tahun yang bertugas di JPJ Johor, lapor Harian Metro yang memetik sumber.

“Mereka dipercayai memanipulasi sistem MYSIKAP bagi urusan cukai jalan LKM yang mana jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Johor mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019,” kata sumber tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang berada di Johor Bahru bagi menghadiri mesyuarat bersama SPRM Johor mengesahkan tangkapan itu.

Katanya, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi proses reman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“Siasatan ini bermula hasil makluman dan kerjasama yang baik oleh Bahagian Integriti dan Pejabat Ketua Pengarah JPJ.

“SPRM akan meneruskan kerjasama dengan JPJ agar langkah pematuhan dan penambahbaikan proses kerja dapat dilakukan sebagai langkah mengelakkan kegiatan rasuah ini berulang khususnya ia menyebabkan ketirisan hasil kerajaan.

“Perkara ini dibincang dengan Ketua Pengarah JPJ sebelum ini dan perkongsian maklumat seumpama ini dapat meningkatkan integriti dan tadbir urus jabatan sekali gus menutup ruang dan peluang rasuah,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/18/sprm-tahan-7-ahli-sindiket-rasuah-jualan-dokumen-hasil-kerajaan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here