Azira Shafinaz terima anugerah The 100 Most Influential Young Entrepreneurs 2020

0
1

PENYANYI Azira Shafinaz terharu mendapat pengiktirafan anugerah The 100 Most Influential Young Entrepreneurs 2020 dalam kategori seni dan budaya, baru-baru ini.

Azira atau nama sebenarnya Azira Shafinaz Ramlan, 30, mengakui anugerah itu yang pertama diterimanya dan tidak sangka pembabitan dalam bidang hiburan lebih lima tahun akhirnya dihargai.

“Anugerah ini sangat bermakna buat saya secara peribadi. Ia membuktikan kerja keras saya dalam bidang seni selama ini tidak sia-sia walaupun saya masih baru.

“Selama ini, saya cuma pernah dicalonkan dalam anugerah hiburan dan tak pernah menang lagi. Jadi, tentunya saya amat bersyukur memandangkan pengiktirafan ini diberi kepada bukan calang-calang nama.

“Tak sangka penganjur melihat pencapaian saya pada tahap itu juga,” katanya yang turut bergiat sebagai pelakon dan pengacara.

Antara selebriti yang pernah menerima anugerah itu ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Awal Ashaari, Elfira Loy, Nelydia Senronse dan Diana Danielle.

Anugerah The 100 Most Influential Young Entrepreneurs 2020 yang diadakan sejak 2016 dianjurkan Entrpreneur Insight.

Ia adalah pengiktirafan buat usahawan yang cemerlang dalam bidang masing-masing termasuk hiburan.

Selain Azira, turut diiktiraf dalam kategori sama pada acara itu adalah pelakon Nad Zainal.

Penyampaian anugerah terbabit kali ini dilakukan secara virtual disebabkan situasi semasa pandemik Covid-19.

Sementara itu, Azira mengakui jadual seninya semakin sibuk apabila tawaran yang diterima juga banyak.

Katanya lagi, bukan saja dalam bidang lakonan, malah dia semakin laris untuk mengacarakan program televisyen.

Azira yang mengacarakan program Vokal Mania musim pertama itu juga bakal tampil dengan filem berjudul Penunggang Agama yang akan ditayangkan bulan depan.

Dalam filem arahan Syafiq Yusof itu, dia berganding dengan Zul Ariffin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here