MALAYSIAN Football League (MFL) hari ini mengeluarkan jadual rasmi Liga Malaysia (Liga M) yang bakal membuka tirai dengan perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 5 Mac ini.
Pertemuan juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.
Ia disusuli empat perlawanan pada 6 Mac dengan paling mencuri tumpuan adalah aksi Selangor bertemu Sri Pahang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Turut dijadualkan ialah pertemuan dua pendatang baharu Liga Super, Penang FC dan Kuala Lumpur United FC, selain UiTM FC melawan Terengganu FC dan Melaka United menjadi tuan rumah kepada Sabah FC.
Satu perlawanan bakal berlangsung pada 7 Mac iaitu Perak FC bertemu PJ City FC di Ipoh.
Berdasarkan jadual yang dikeluarkan, setiap pasukan bakal mengharungi dua perlawanan ketika Ramadan iaitu pada 16, 17 dan 18 April serta 8, 9 dan 10 Mei dengan perlawanan bermula jam 10 malam, kecuali aksi di Sabah sepak mula pada 9.15 malam.
Perlawanan terakhir bagi Liga Super dijadualkan pada 6 dan 8 Ogos 2021.
Bagi Liga Premier yang menyaksikan 11 pasukan bertanding, aksi pertama dijadual bermula pada 6 Mac dengan tumpuan terarah ke Kota Bharu apabila Kelantan FC bertemu Perak II.
Skuad Projek Khas FAM-MSN dibimbing Yusri Che Lah akan bertandang ke Kuala Terengganu menentang Terengganu FC II.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan optimis semua yang terlibat dalam industri bola sepak mampu melaksanakan tugas sebaik mungkin sebagaimana Liga M 2020 berjaya dijalankan tanpa mencetus sebarang kluster Covid-19.
“Seperti makluman MFL sebelum ini di mana tiada kejohanan Piala FA bagi musim 2021, saya berharap semua pasukan dapat melakukan persiapan terbaik dalam memastikan persembahan berkualiti selepas jadual liga dikeluarkan,” katanya.
Beliau turut mengharapkan penonton dapat membuat penampilan kembali di stadium secara berskala kecil jika kes pesakit baharu Covid-19 menurun pada masa akan datang. – Malaysiapost

