BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menaikkan had nilai maksima projek lantikan terus untuk tempoh pelaksanaan darurat. Beliau mendakwa had nilai itu naik sehingga 150 peratus bagi tujuan mempercepatkan proses perolehan dan menjana aktiviti ekonomi. Katanya, kenaikkan itu membabitkan had nilai ambang perolehan kerja bagi kaedah lantikan terus untuk kontraktor Gred G1 dan G2 daripada RM20,000 kepada RM50,000 dalam tempoh darurat pandemik Covid-19. “Untuk melawan Covid, kerajaan naikkan had nilai maksima projek lantikan terus sebanyak 150% dari RM20k ke RM50k dalam tempoh darurat,” katanya melalui satu hantaran di Facebook hari ini. Beliau turut membuat naik surat mengenai had nilai lantikan terus yang bertarikh 16 Februari lalu dan mempunyai tandatangan Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Zamzuri Abdul Aziz. Sebelum ini, banyak pihak yang menyatakan kebimbangan mengenai Proklamasi Darurat yang dilihat memberi kuasa mutlak kepada pemerintah hingga boleh berlaku salah guna kuasa, penyelewengan dan sebagainya. – Malaysiapost

