Datuk A Kadir Jasin MUKADIMAH: Mohon kerjasama dan kefahaman bahawa komen mengenai mahkamah boleh mengundang tuduhan menghina mahkamah (contempt of court) seperti dalam cerita di bawah ini. 1. Keputusan Mahkamah Persekutuan – mahkamah tertinggi di Malaysia – pagi tadi yang mendapati portal berita Malaysiakini bersalah menghina mahkamah dan mendendanya RM500,000 adalah hukuman yang berat. 2. Apatah lagi yang melakukan penghinaan itu bukan sidang pengarangnya tetapi pembaca yang membuat ulasan terhadap laporannya. 3. Sekali gus keputusan mahkamah itu mencetuskan tindak balas yang luas biasa di kalangan anggota masyarakat. Dalam masa beberapa jam, orang ramai menyumbang lebih RM500,000 kepada tabung “Media Defence Fund” yang dilancarkan sebaik saja denda mahkamah itu diumumkan. 4. Mahkamah apex dengan keputusan enam orang hakim bersetuju dan seorang tidak bersetuju telah mendapati Malaysiakini bertanggungjawab ke atas komen pembaca-pembacanya. 5. Mahkamah, bagaimanapun, mendapati Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan, tidak bersalah atas tuduhan itu. 6. Keputusan ini secara tersirat memberi amaran keras kepada saluran berita, khususnya atas talian, bahawa mereka bertanggungjawab (liable) terhadap komen pembaca yang menyusuli laporan mereka. 6. Ini tentunya menimbulkan kerumitan kerana, bergantung kepada aplikasi yang mereka guna, komen pembaca tersiar secara automatik tanpa pengarang mempunyai hak untuk menapisnya. Misalnya, bahan-bahan yang disiarkan melalui aplikasi Facebook, komen pembaca akan tersiar secara terus tanpa pengarang (atau pentadbir/admin) boleh mencelah. Pengarang/pentadbir hanya boleh menyekat (block) selepas komen tersiar. Selepas itu pembaca tidak lagi mempunyai akses kepada komen yang sudah disekat itu. 7. Turut menjadi persoalan sekarang adakah penghakiman “deterrent” terhadap Malaysiakini itu akan memberi kesan kepada pengguna perseorangan media sosial. 8. Sebagai latar belakang, Jun lalu Peguam Negara Idrus Harun telah mengemukakan permohonan ex-parte bagi memulakan prosiding menghina mahkamah ke atas Malaysiakini dan Gan bersabit beberapa komen pembaca terhadap berita merajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1” yang disiarkan pada 8 Jun. Melaluinya, Idrus meminta denda RM200,000 dikenakan. Sekian. Terima kasih. Penulis ialah wartawan veteran (Artikel ini adalah pandangan penulis yang disiarkan tanpa suntingan, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

