INDIVIDU yang telah keluar daripada Umno boleh memohon menyertainya semula, namun tidak boleh mengenakan sebarang syarat, kata Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Presiden Umno.
Najib berkata, mereka yang ingin kembali ke pangkuan Umno perlu menerima segala dasar dan individu lain yang berada di dalam parti itu.
Biarpun tidak menyebut nama mana-mana individu, Najib dipercayai memberi bayangan pihak yang dimaksudkan adalah Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menerajui parti itu selama 22 tahun.
“Sesiapa boleh mohon untuk balik (semula) kepada Umno.. Tetapi orang macam saya, kami ini semua, kita setia dalam Umno, tidak pernah keluar daripada Umno.
“Mereka yang keluar daripada Umno, hendak kembali kepada Umno, boleh dipertimbangkan.
“Namun, mereka tidak boleh kenakan syarat, dia kena terima. Dia mahu masuk Umno, terimalah dasar Umno, terimalah sesiapa yang ada dalam Umno.
“Umno adalah parti yang bukan milik mana-mana individu atau Presiden parti sekalipun, ataupun bekas presiden parti, tidak! Umno adalah milik tiga juta ahlinya,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Sebelum ini, Dr Mahathir menyatakan beliau boleh kembali ke pangkuan Umno, namun tidak boleh bekerjasama dengan beberapa pihak yang dianggapya ‘penyagak’.
Beliau berkata demikian dalam program ‘Bersama Tun M’ yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar baru-baru ini anjuran sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.
Dr Mahathir turut mengakui masih sayangkan Umno yang pernah dipimpinnya sebagai presiden selama 22 tahun itu. – Malaysiapost

